Followers

Saturday, February 12, 2011

akhirnya...

akhirnya...
tunjuk perasaan yang dilakukan oleh rakyat Mesir supaya presiden Mesir, hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden, akhirnya berbaloi apabila beliau meletakkan jawatan semalam.

PETIKAN BERITA DARIPADA UTUSAN MALAYSIA

KAHERAH 11 Feb. – Presiden Hosni Mubarak dilapor meninggalkan Kaherah bersama keluarganya hari ini dan berada di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah, kata jurucakap parti pemerintah, Parti Demokratik, Mohammed Abdellah.

“Mubarak telah meninggalkan Kaherah bersama ahli keluarganya. Beliau berada di Sharm el-Sheikh,” katanya kepada AFP.

Mubarak meninggalkan Kaherah pada hari ke-18 protes besar-besaran di seluruh negara yang menuntut beliau meletak jawatan.

Perhimpunan hari ini merupakan yang terbesar sejak protes tersebut berlangsung tetapi ia dilancarkan selepas solat Jumaat tanpa sebarang unsur keganasan.

Pemergian ke Sharm el-Sheikh kira-kira 570 kilometer dari Kaherah itu bagaimanapun langsung tidak meredakan tunjuk perasaan tersebut.

Mubarak dalam ucapannya kepada rakyat pagi ini berkata, beliau menyerahkan hak istimewa Presiden kepada Naib Presiden, Omar Suleiman tetapi tidak akan berundur dari jawatan tersebut.

Diktator itu berkata, beliau akan kekal sebagai Presiden hanya pada nama sehingga September ini iaitu apabila Pilihan Raya Presiden diadakan.

“Saya mengambil keputusan untuk menyerahkan kuasa kepada Naib Presiden berdasarkan Perlembagaan.

“Saya sedar akan bahaya dalam keadaan ini dan ia menyebabkan kita terpaksa memilih kepentingan negara berbanding perkara lain,’’ katanya.

Bagaimanapun sikap keras kepala beliau berakhir apabila terpaksa tunduk pada tekanan rakyat dengan mengumumkan peletakan jawatan kira-kira pukul 6 petang (12 tengah malam waktu Malaysia).

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presidennya yang turut menegaskan bahawa pemerintahan Mesir akan dilaksanakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera negara itu. – AFP

PETIKAN BERITA DARIPADA METRO


KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak akhirnya meletak jawatan, selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahan 30 tahunnya.

Sehubungan itu, Naib Presiden, Omar Suleiman yang mengumumkan perletakan jawatan itu menerusi televisyen, menamakan sebuah majlis tentera untuk mentadbir sementara negara berkenaan.


“Presiden mengambil keputusan untuk menyerahkan kedudukannya,” kata Omar.

Seorang pegawai parti pemerintah sebelum ini berkata Hosni dan keluarganya meninggalkan Kaherah, berlepas ke kawasan peranginan di Laut Mati di Sharm el-Sheikh, tempat dia mempunyai istana.


Tentera Mesir sebelum itu berusaha mengurangkan kemarahan rakyat dengan memberi jaminan, pembaharuan yang dijanjikan akan dilaksanakan. Tetapi, beratus ribu penunjuk perasaan menjadi semakin berang, memenuhi dataran di sekurang-kurangnya tiga bandar besar negara itu semalam dan berarak menuju istana presiden dan bangunan televisyen milik negara, simbol penting rejim Hosni.


“Apa yang kamu tunggu lagi,” jerit seorang lelaki ke arah seorang pegawai tentera di luar istana Hosni di Kaherah. Lebih 5,000 orang menunjuk perasaan di depan istana itu yang dilindungi empat kereta kebal.

Tunjuk perasaan di depan istana itu adalah yang pertama dilakukan selepas tiga minggu tertumpu di Dataran Tahrir.


Ketika khutbah Jumaat di dataran berkenaan, penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Pergi! Pergi!’ setiap kali khatib menyebut nama Hosni.

Dalam pada itu, lebih 10,000 orang merempuh sekatan tentera di depan bangunan Radio Dan Televisyen Mesir.


Sambil memukul gendang, mereka menjerit ‘Pergi! Pergi!’ Tentera dalam kereta kebal depan bangunan itu tidak berbuat apa-apa. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...