Sebutan Fir'aun bererti raja bagi zaman Mesir kuno. Banyak Fir'aun yang bersilih-ganti memerintah kerajaan Mesir kuno. Di zaman Nabi Musa, hidupnya seorang Fir'aun yang sangat zalim. Kezalimannya amat hebat sekali, tetapi ahli sejarah bangsa Bani Israel tidak pernah catat nama Fir'aun itu. Tentu sekali dia mempunyai nama tertentu. Al-Qur'an sendiri tidak menyebut nama Fir'aun itu.
Dikatakan tidak perlu disebut nama Fir'aun zaman Nabi Musa kerana jika terdapat nama itu dalam Al-Qur'an, tentu manusia zaman moden ini akan pertikaikan nama itu dan menjadikan penat umat Islam memikirkan bagaimana hendak menjawab orang-orang yang anti-Islam. Kebetulan juga nama itu tidak tersebut dalam kitab Bible.
Yang menghairankan kita ialah kenapa nama seorang menteri di zaman Nabi Musa disebut sebagai Haman. Kenapa nama itu begitu penting disebut dalam Al-Qur'an? Sedangkan nama menteri yang mengambil Nabi Yusuf sebagai anak angkat tidak juga disebut namanya dalam Al-Qur'an, hanya dikenali sebagai Al-Aziz.
Dalam Bible menteri itu dipanggil Potiphar. Nama Haman dalam Al-Qur'an disebut sebanyak 6 kali..dalam ayat-ayat (28:6),(28:8),(28:38),(29:39),(40:24) dan (40:36). Satu contoh ayat ialah, Dan berkata Fir'aun: "Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu (syurga)..[Al-Mu'min (40):36]
Perhatikan ayat di atas tentang kata-kata Fir'aun sebagai mempersenda ajaran Nabi Musa. Kata-katanya adalah senda-gurau padahal dia tahu dia tidak mampu membuat bangunan setinggi itu. Manusia macam Fir'aun sentiasa mencari dalih untuk menolak kebenaran yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Dalam ertikata lain dia adalah manusia yang suka memperolok-olokkan hukum-hakam ugama.
Apa bezanya manusia zaman ini. Fir'aun moden memang banyak. Memang Fir'aun zaman Nabi Musa sudah lama mati..tetapi Al-Quran menjadikan dia sebagai satu iktibar, seorang raja atau pemerintah yang sentiasa mencari jalan untuk menolak perlaksanaan hukum dan peraturan ugama.
Kembali kepada persoalan nama Haman. Dia adalah salah satu contoh orang mempunyai kuasa politik. Dia mengikut saja apa kata "boss"nya Fir'aun. Bukan setakat itu sahaja, dia mempunyai kepentingan duniawi dan mengampu bossnya. Haman adalah contoh menteri yang tidak jujur. Dia tahu bossnya zalim, dia sendiri setuju bersama bossnya membuat kezaliman. Inilah satu pengajaran bahawa apabila seorang menteri itu jahat, ia akan memberi galakan dan semangat kepada bossnya lebih ghairah membuat kezaliman dan kejahatan.
Mungkin dalam Al-Qur'an diulangi sebanyak 6 kali sebutan "menteri" Haman tentang bala dan bahaya kita memilih orang-orang yang jahat menjadi pemimpin. Ini adalah amaran daripada Allah sendiri.
Dalam zaman moden ini, bukan saja pemimpin-pemimpin macam "Fir'aun" ini ramai, malahan "menteri-menteri" macam Haman pun ramai juga. Oleh itu awasi orang-orang macam Haman, singkirkan mereka, bukan setakat Fir'aun bahkan Haman bersekali. Singkirkan mereka semua.
No comments:
Post a Comment