Pembaca berita: Berita tergempar tentang fenomena alam yang ganjil semakin tersebar di sana sini. Setelah hujan renyai-renyai pagi tadi, penduduk sekeliling tercari-cari pelangi yang biasanya muncul di tengah panas setelah hujan. Apa yang sudah terjadi? Di manakah pelangi?
Narrator: Kisah ini kisah warna.
Merah rupa-rupanya sedang berada di gurun. Selesa di sana katanya. Sesuai dengan jiwanya yang agresif, panas dan pantas. Dia membakar pasir-pasir gurun hinggakan kulit pelancong-pelancong yang putih-putih terbakar menjadi merah.
Jingga pula berada di pertunjukan fesyen untuk memperagakan fesyen terkini musim panas. Tahun lepas dia sudah memenangi anugerah feseyen terbaik peringkat cakerawala. Kerlipan flash kamera menyimbahi wajahnya. Para wartawan berebut-rebut menemuramah untuk publisiti.
Lain pula halnya dengan kuning. Dia baru sahaja menandatangani kontrak sebaga maskot DiGi. Sungguhpun mesra, namun ramai yang rimas dengan kehadirannya. Dialah penghubung bicara, dia juga pemutus cinta.
Hijau bertapa di kubah masjid yang terletak jauh di dalam rimba. Tenang, tenteram, tanpa gangguan. Juga tanpa keluarga dan kawan-kawan.
Biru bergelora dengan dunianya sendiri. Haru-biru, hiruk-pikuk, namun tetap sendiri. Hanya ditemani nelayan-nelayan dan pemancing-pemancing di tengah lautan.
Indigo dulu pernah popular dengan lagunya, "Andai Kau Pergi". Pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini. Namun kini, dia telah ditinggalkan. Dia kini sendiri. Sepi tanpa ada yang memerhati. Sunyi menunggu mati.
Ungu. Dialah punca segalanya-galanya. Dek kerana cemburu dirinya selalu diakhirkan, dia pisahkan semua warna. Pelangi hilang kerananya. Bak kata pepatah, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga."
Si kecil menunggu pelangi yang dijanjikan ayahnya. Kata ayah, pelangi akan muncul setelah hujan. Namun hampa. Dia bertanya kepada Sang Matahari di mana mereka?
Si kecil: Sang Matahari, di mana pelangi? Ke mana mereka? Satukanlah mereka! Biarlah mereka hidup bersama!"
Narrator: Sang Matahari mengambil peranan. Dipanggilnya semua warna untuk diberikan pedoman.
Sang Matahari: Duhai warna-warna sekalian! Ke mana kamu semua? Kenapa terlalu fikirkan diri sendiri? Kaliankan pelangi! Yang menjadi penyeri selepas ribut. Menenangkan hati yang kalut. Merehatkan mata yang serabut.
Bersatulah! Warnai hidupmu dengan ikatan persaudaraan!
Narrator: Mereka akhirnya tersedar. Kembali bersama. Mereka sedar tiada pelangi tanpa salah satu dari mereka. Mereka saling melengkapi. Allah menjadikan mereka sesempurna ini, kenapa mereka ingin tergolong dalam golongan yang rugi?
No comments:
Post a Comment